01/04/2026
KLANG – “Dua hari saya tak boleh tidur malam, setiap kali pejam mata, kejadian itu bermain dalam ingatan.”
Itu luahan individu yang mahu dikenali sebagai Megan, 42, saksi utama yang masih trauma selepas menyaksikan sendiri detik ngeri seorang penunggang motosikal terjatuh di atas bumbung keretanya dalam kemalangan maut di Jalan Raya Barat di sini, Ahad lalu.
Lelaki yang memandu kereta jenis Perodua Myvi itu berkata, ketika kejadian dia bersama seorang rakannya dalam perjalanan ke Pelabuhan Klang. Jelasnya, keadaan berlaku begitu pantas sebelum dirinya menyedari mangsa sudah berada di atas kenderaannya.
"Saya ingatkan kereta itu tidak langgar apa-apa. Tiba-tiba saya perasan ada orang di atas kereta saya. "Saya sedar apabila lihat tangan mangsa terkulai di cermin hadapan sebelah bahagian pemandu, masa itu saya tak pasti keadaannya,” katanya.
Megan berkata, dalam keadaan panik, dia mengambil keputusan untuk memandu perlahan bagi mengelakkan mangsa daripada terjatuh ke jalan. "Saya bawa kereta perlahan-lahan, saya tak mahu dia jatuh.
Saya fikir, tak mengapa kalau kereta saya rosak, yang penting nyawa dia. "Saya terus berhenti di tepi jalan, dalam hati saya berdoa agar dia selamat,” katanya.
Bagaimanapun, sebaik turun dari kenderaan, dia mendapati mangsa sudah tidak menunjukkan sebarang tanda pergerakan. Katanya, detik itu menjadi titik trauma yang masih menghantui dirinya sehingga kini.
"Saya memang tak boleh tidur, saya takut, sampai sekarang nak bawa kereta atau motosikal pun saya fobia,” ujarnya.