11/02/2018
MISTERI TOK BIDAN SUSU LANJUT
Pernah dengar tak orang-orang tua dulu seloroh, "Nanti Tok bidan susu lanjut mai kat hang... baru tau!"
Haaa.. Sebenarnya itu berkisar dari kisah sejarah dan mungkin cerita mitos zaman orang dulu-dulu.
Bidan Lanjut adalah seorang bidan diraja yang terkenal pada suatu zaman dahulu. Dia terkenal kerana kepintarannya melahirkan bayi yang keadaan sulit seperti songsang di perut ibunya dan macam-macam lagi.
Kerjanya menjadi bidan khas untuk anak-anak raja di istana. Tetapi oleh sebab kehandalannya, ramai orang mencari dia di sekitar negeri dan dia dituduh menderhaka kepada anak raja kerana membenarkan orang luar masuk ke istana dan meminta pertolongannya tanpa kebenaran anak-anak raja, lalu dia terus dibuang kerja.
Dia membawa dirinya ke Taiping/Kuala Kangsar dan hilang tidak dijumpai lagi oleh orang kampung sehinggalah sekarang....
Dikatakan, ada yang ternampak seorang perempuan tua berambut sangatlah panjang dan buah dadanya besar lanjut ke pinggangnya ketika melalui sebuah pokok besar.
Mengikut kajian dan juga pendapat dari beberapa pihak, Tok Bidan Susu Lanjut didakwa berasal dari tempat yang berbeza. Antaranya ialah Pagar Ruyung, Indonesia, Kedah, Permatang Pauh, Pattani dan lain-lain lagi.
Hanya dua pihak yang mengakui kuburnya terdapat di tanah perkuburan Kamunting Lama yang lebih dikenali ‘Kubur Keramat Tok Bidan'.
Kesimp**an yang boleh dibuat adalah Tok Bidan Susu Lanjut atau Keramat Tok Bidan bukanlah hanya seorang individu sahaja.
Salah satu pihak yang mendakwa Kubur Keramat Tok Bidan di Kamunting Lama merupakan kubur Tok Bidan dari keturunan mereka ialah orang-orang yang berasal dari Pattani dan sebahagian besar daripada mereka ini menetap di mukim Batu Kurau.
KISAH AWAL TOK BIDAN SUSU LANJUT
Tok Bidan Susu Lanjut atau nama sebenarnya ialah Tok Esah hidup sekitar 1790an hingga 1870an. Bapanya bernama Tok Debasa manakala nama ibunya tidak dapat diketahui.
Tok Esah mempunyai tiga orang abang yang bernama Tok Jusoh, Tok Tahir dan Tok Pakeh. Mereka ini bergelar Datuk Panglima Gagah, Datuk Panglima Garang dan Keramat Tok Pakeh sementara adiknya p**a bernama Mat Hassan.
Sejarah awal mengatakan bahawa keluarga ini melarikan diri dari Pattani disebabkan berlakunya ancaman keselamatan oleh Kerajaan Siam.
Terdapat juga kepercayaan bahawa Tok Debasa berasal dari Indonesia. Beliau telah pergi ke Pattani dan berkahwin dengan seorang Kerabat Raja Pattani.
Pasangan ini telah berhijrah dan pernah menetap di Sedim, Kedah. Hujah ini diperkuatkan dengan adanya sebuah bukit di sana yang dikenali sebagai 'Bukit Tok Debasa'. Di bukit itu juga jasadnya disemadikan.
Manakala empat orang anaknya kecuali Tok Pakeh (tidak ikut berhijrah) meneruskan perjalanan ke destinasi terakhir di Bukit Gantang, Perak meneroka dan terus menetap di situ.
Tok Esah telah berkahwin dengan seorang bomoh yang dikenali sebagai Tok Kermat Serban Kuning. Pasangan ini dikurniakan seramai tujuh orang anak yang terdiri daripada Tijah, Hawa, Munah (bergelar Tok Pattani), Jusoh, Ibrahim, Jabar dan Bakar.
Dikatakan juga, keluarga ini mempunyai hubungan kekeluargaan dengan seorang Kerabat Raja Pattani yang bernama Tok Indera.
Tok Indera bersama keluarga dan pengikutnya dipercayai adalah kump**an pertama yang membuka penempatan pelarian orang-orang Pattani di Mukim Batu Kurau pada awal kurun ke 18. Kampung terawal yang diterokai ialah Kampung Batu Bertindan.
Justeru itu, Tok Esah bersama anaknya Jusoh telah datang ke Kampung Batu Bertindan pada awal kurun ke-19 untuk menjejaki keluarga Tok Indera di samping untuk turut sama menetap di kampung tersebut.
Jusoh telah bertemu jodoh dengan seorang perempuan bernama Marela. Marela dan adiknya yang bernama Majlis serta kump**annya melarikan diri dari Kampung Kerunai, Gerik kerana kampung tersebut telah diserang oleh tentera Siam. Mereka menetap di Kampung Cheruk Kelian, Changkat Perah.
Perkahwinan antara Jusoh dengan Marela dikurniakan seramai enam orang anak iaitu Mat Diah, Kernai, Siti Hajar, Saman, Senu dan Esah.
Oleh yang demikian hampir 95% penduduk Changkat Perah adalah berasal dari keturunan Marela dan Jusoh serta Majlis dan suaminya yang bernama Musa.
Selepas kematian Marela, Jusoh telah pergi ke S*k atau Sedim, Kedah untuk menjejaki keluarganya dan berkahwin p**a dengan seorang gadis jelita di sana. Pasangan ini dikurniakan dua orang anak yang terdiri dari seorang lelaki dan seorang perempuan.
Kedua-dua orang itu tidak diketahui namanya dan sehingga kini keturunan mereka tidak dapat dkesan. Dipercayai Jusoh telah meninggal dunia dan dikebumikan di sana.
Berdasarkan faktor itu, pihak dari Kedah juga mendakwa bahawa mereka adalah keluarga dari pasangan Jusoh dan isteri barunya itu.
Setelah kematian Jusoh, anak-anaknya terutama sekali yang bongsu iaitu Esah telah dibesarkan sendiri oleh nenek mereka (Tok Bidan Susu Lanjut).
KELEBIHAN TOK ESAH (TOK BIDAN SUSU LANJUT)
Kebolehan ilmu perbidanan Tok Esah bermula semenjak di Bukit Gantang lagi dan khidmatnya diteruskan di Kampung Batu Bertindan serta kampung-kampung sekitarnya.
Antara kebolehan luar biasanya ialah ketika beliau membidani seorang perempuan yang hendak melahirkan anak. Secara tiba-tiba keajaiban telah berlaku apabila bayi yang dilahirkan oleh perempuan tersebut berupa beberapa biji telur yang besar dan bukannya berbentuk manusia.
Oleh itu, Tok Esah telah mengulit-ulit sambil bermantera dan dengan kehendak Allah swt, maka terhasillah rupa bentuk beberapa orang bayi dari telur-telur tersebut. Kelebihannya yang lain termasuklah sebagai bomoh yang luar biasa dan menakjubkan.
Tok Esah dipercayai meninggal dunia di Kamunting ketika dalam perjalanan p**ang dari menziarahi keluarganya di Bukit Gantang.
Disebabkan beberapa faktor penghalang untuk membawa p**ang jenazahnya ke Kampung Batu Bertindan, maka jasadnya telah dikebumikan di tanah perkuburan Kamunting Lama.
Hujah ini disokong kuat oleh keturunan Datuk Panglima Gagah dan Datuk Panglima Garang yang tinggal di Bukit Gantang. Namun kesahihan mengenai kebenaran kubur Keramat Tok Bidan tidak dapat dipastikan kerana ada pihak lain yang mendakwa bahawa jasadnya disemadikan di Baling, Kedah tetapi tiada fakta sahih diketemui.
Sejak dari itu, kubur Keramat Tok Bidan di Kamunting Lama telah menjadi tumpuan masyarakat termasuk kaum Cina dan India untuk memohon hajat dan membayar nazar sehinggalah binaan yang terdapat di atas kubur tersebut dirobohkan oleh Jabatan Agama Islam Perak pada tahun 1982 kerana dianggap khurafat.
Wallahua’lam…
Sumber:
1. Buku Salasilah Batu Kurau (YB Hasbullah Hj Elias)
Gambar sekadar hiasan