21/02/2026
TAWASAU (SALING BERPESAN) SIRI 3️⃣2️⃣
"Seumpama Memanggil Binatang Yang Tidak Mengerti Suatu Apa Pun"
Firman Allah SWT:
وَمَثَلُ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ كَمَثَلِ ٱلَّذِي يَنۡعِقُ بِمَا لَا يَسۡمَعُ إِلَّا دُعَآءٗ وَنِدَآءٗۚ صُمُّۢ بُكۡمٌ عُمۡيٞ فَهُمۡ لَا يَعۡقِلُونَ
Maksudnya : "Dan bandingan (orang-orang yang menyeru) orang-orang kafir (yang tidak mahu beriman itu), samalah seperti orang yang berteriak memanggil binatang yang tidak dapat memahami selain daripada mendengar suara panggilan sahaja. Mereka itu ialah orang-orang yang pekak, bisu dan buta. Oleh sebab itu mereka tidak dapat menggunakan akalnya”. (Surah Al-Baqarah: 171)
Bandingan keras sebegini ditujukan kepada orang kafir yang keras hati dan enggan melihat kebenaran apatah lagi beriman setelah diterangkan kebenaran Islam. Perumpamaan yang dibuat adalah seperti berteriak memanggil binatang yang boleh mendengar tetapi tidak memahami apa-apa. Laksana mereka itu pekak, bisu dan buta, tidak mampu menggunakan akal dengan rasional, apa lagi dekat dengan hidayah Allah SWT.
Dalam situasi dakwah kepada golongan bukan Islam, adalah menjadi tanggungjawab umat Islam untuk menerangkan kebenaran Islam semampu yang boleh. Umat Islam perlu mempamerkan tingkah laku dan contoh ikutan yang baik kepada mereka. Seolah Islam diterjemah melalui ucapan dan tingkah laku umat Islam dalam sosial kemasyarakatan termasuk memuat naik kandungan, perkongsian dan komen beradab di media sosial. Dakwah melalui akhlak baik lebih berkesan daripada kata-kata yang mungkin tidak boleh diterima oleh perasaan.
Dakwah Islam hendaklah diteruskan walaupun berhadapan pelbagai tribulasi. Sememangnya kekufuran dan ekstrim dalam beragama menutup mata dan telinga mereka tetapi kita selaku orang beriman masih tetap dipertanggungjawabkan untuk meneruskan dakwah kepada bukan Islam dalam bentuk yang paling harmoni dan penuh hikmah agar mereka mampu menerima dan memahami Islam sepenuhnya.
Walaupun kita tidak berkuasa menarik mereka kepada memeluk Islam namun boleh jadi kita mampu menawan hati mereka untuk sekurang-kurangnya mereka menerima serta bersetuju dengan keindahan ajaran Islam. Ingatlah, kita hanya bercucuk tanam yang menumbuhnya adalah Allah, kita hanya menyeru yang menyampaikan seruannya ke lubuk hati adalah Allah.
〰️Asri eddiwanie
3 Ramadan 1447H